|
|
|
Written by Webmaster
|
|
Monday, 22 September 2008 |
|
SEJARAH PENUBUHAN KEM TASOH Pusat Kokurikulum di Perlis mula berkembang pada selepas tahun 1995, iaitu setelah 3 orang guru mengikuti Kursus Asas Jurulatih Pusat kokurikulum Peringkat Kebangsaan kali pertama di Bukit Kolam, Terengganu. Pada tahun 1996, peralatan untuk perkhemahan dan aktiviti ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Puan Muda Tengku Fauziah dan dikawal selia oleh oleh En. Bakhtiar b. Bahari kerana kawasan sekolah berkenaan telah dikenalpasti sebagai lokasi cadangan untuk dijadikan Pusat Kokurikulum Perlis Pada tahun 1997, lokasi baru iaitu Sekolah Kebangsaan Dato Ariffin Md Nam dicadangkan untuk dijadikan Pusat kokurikulum kerana kawasan Sekolah Menengah Raja Puan Muda Tengku Fauziah akan didirikan Kuaters Guru. Mulai tahun 1998 aktiviti kokurikulum mula dijalankan di Sekolah Kebangsaan Dato Ariffin Md Nam dengan mengunakan sebahagian kawasan sekolah berkenaan. Peringkat pertama, seramai 9 orang guru telah dilantik sebagai jurulatih berdasarkan pengalaman, kepakaran dan kursus-kursus yang pernah diikuti. Pada tahun 2000, semua peralatan dipindahkan dari Sekolah Mmenengah Kebangsaan Raja Puan Muda Tengku Fauziah ke Sekolah Kebangsaan Dato Ariffin Md Nam. Kawasan tapak perkhemahan juga dinaik taraf secara berperingkat secara gotong royong dan khidmat masyarakat setiap kali program. Kursus Asas Jurulatih mula dijalankan untuk menambah bilangan jurulatih bagi menampung keperluan jurulatih. En. Bakhtiar b. Bahari dilantik sebagai Pegawai Tugas Khas dan ditempatkan di Unit Kokurikulum dan bertanggungjawab untuk mengurus perjalanan Pusat Kokurikulum. Beberapa kemudahan untuk tujuan perkhemahan dan aktiviti telah dibina dan dinaik taraf. Pada 1 Januari 2001, 2 orang pegawai tugas khas (PTK) tambahan dilantik untuk memenuhi keperluan dan beban tugas di Pusat Kokurikulum Perlis iaitu En.Rosli b. Darus sebagai Penolong Pengurus Bahagian Latihan/Jurulatih dan En.Osman b. Omar sebagai Penolong Pengurus Bahagian lojistik/peralatan Pusat Kokurikulum Perlis. En. Bakhtiar juga ditempatkan di Kem Tasoh ini untuk menguruskan pentadbiran secara sepenuh masa. Sebuah Dewan Terbuka dengan keluasan 100 x 40 kaki telah dibina dan dirasmikan pada 2 Ogos 2001. Pada Januari 2002 rombakan pentadbiran dijalankan, seorang lagi Pegawai Tugas khas iaitu En.Abd.Nasir b. Abdullah dilantik sebagai Pengurus Pusat Kokurikulum, manakala En.Bakhtiar b Bahari sebagai Penolong Pengurus Bahagian Latihan, En.Osman b Omar sebagai Penolong Pengurus Bahagian Lojistik dan En.Rosli b Darus dilantik sebagai Penolong Pengurus Bahagian keceriaan dan Pembangunan Kem. SK Dato Ariffin Md.Nam berpindah ke SK Guar Jentik pada 1 Januari 2002 tetapi pengurusan Pusat Kokurikulum masih dikendalikan oleh pihak SK Guar Jentik sehingga Jun 2002. Pelbagai prasarana dinaikraf secara drastik termasuk padang kawad , sistem lampu, bilik mandi dan tandas peserta, asrama, sistem longkang, pagar hadapan, stor, tempat letak kereta, pondok acara sukan dan pelbagai peralatan tambahan ditambah. Pada tahun 2003, seramai 3 orang jurulatih tetap serta 2 orang Pembantu Am Rendah (Tukang Kebun) ditempatkan di Pusat Kokurikulum. Pembangunan pesat telah dijalankan meningkatkan lagi prasarana Pusat Kokurikulum hingga menjadi lokasi tumpuan untuk menjalankan aktiviti luar bukan sahaja kepada warga pendidikan tetapi kepada institusi luar. Keutamaan penggunaan Pusat Kokurikulum diberikan kepada program-program Peringkat Negeri dan Kebangsaan yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan. Peluang kepada sekolah dan agensi luar menggunakan Pusat Kokurikulum hanya berdasarkan kekosongan setelah mengambilkira program-program anjuran Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Perlis. Pada tahun 2004, sebanyak 6 perjawatan hakiki untuk Pusat Kokurikulum telah diwujudkan, iaitu Penolong Pengarah, 2 orang penyelia, pembantu tadbir, pemandu dan pembantu am rendah. Semua jawatan ini telah diisi menjadikan pengurusan Pusat Kokurikulum lebih mantap seragam dengan semua Pusat Kokurikulum seluruh Negara. Mulai tahun 2005, Kementerian Pelajaran telah merombak organisasi Pusat Kokurikulum seluruh negara. Pusat Kokurikulum telah dipisahkan dari Unit Kokurikulum. Pembangunan fizikal dan prasarana aktiviti bertambah dengan pesat sejajar dengan perancangan Kementerian Pelajaran memantapkan lagi Pusat Kokurikulum Perlis untuk mencapai peranan, fungsi dan objektif penubuhan. Pada Januari tahun 2007, seramai 3 orang lagi pegawai dilantik secara pentadbiran sebagai memenuhi keperluan perkhidmatan untuk melaksanakan program-program yang dirancang serta tempahan yang semakin bertambah.
|
|
Last Updated ( Tuesday, 30 September 2008 )
|
|
|
|