PENGHARGAAN: Dr. Ishak Johari (kanan) menyampaikan plak penghargaan kepada Dr. Ahmad Nazib Johari selepas Majlis Perasmian dan Sesi Motivasi Program Persediaan SPM 2026 di Pusat Tuisyen Terbilang, Matang Jaya.

September 8, 2026, Selasa – 2:04pm

KUCHING: “Guru dan tenaga pengajar boleh menyediakan bimbingan terbaik, namun kejayaan dalam peperiksaan tetap bermula daripada tekad, disiplin serta komitmen kendiri seseorang murid”.

Demikian antara pesanan Dr. Ahmad Nazib Johari, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), ketika merasmikan Program Motivasi dan Bengkel Persediaan SPM 2026 di Pusat Tuisyen Terbilang, Matang Jaya.

Majlis perasmian yang berlangsung pada Isnin, pukul 4 petang itu turut diisi dengan ceramah motivasi oleh Ahmad Nazib kepada 80 murid Tingkatan Lima daripada keluarga B40 di kawasan Parlimen Petra Jaya dan Santubong.

 

MOTIVASI: “Jangan takut melakukan kesilapan ketika belajar kerana kesilapan yang diperbetulkan sekarang boleh membantu murid mengelakkan kehilangan markah nanti,” -Dr. Ahmad Nazib Johari

Peserta terdiri daripada murid yang bersekolah di 10 buah sekolah menengah sekitar Kuching, antaranya SMK Santubong, SMK Matang Jaya, SMK Matang Hilir, SMK Green Road dan SMK Semerah Padi.

Ahmad Nazib mengingatkan calon SPM supaya tidak membiarkan kelemahan atau keputusan terdahulu melemahkan semangat mereka untuk terus berusaha. “Guru dan tenaga pengajar sentiasa bersedia membimbing, tetapi usaha untuk mengulang kaji, memperbaiki kelemahan dan melakukan perubahan perlu bermula daripada diri sendiri.

“Murid perlu berani mencuba, belajar daripada kesilapan dan bangkit dengan semangat yang lebih kuat. Kelemahan yang dikenal pasti hari ini boleh diperbaiki sebelum melangkah ke dewan peperiksaan sebenar,” katanya.

Menurut beliau, keputusan yang kurang memuaskan dalam latihan atau peperiksaan terdahulu tidak seharusnya dianggap sebagai kegagalan mutlak, sebaliknya perlu dijadikan petunjuk kepada bahagian yang perlu diberikan perhatian.

Beliau turut menyeru calon SPM supaya membina mentaliti seorang pejuang dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan topik atau soalan yang sukar.

“Jangan takut untuk melakukan kesilapan ketika belajar. Kesilapan yang diperbetulkan sekarang boleh membantu murid mengelakkan kehilangan markah dalam peperiksaan nanti.

MOTIVASI: Dr. Ahmad Nazib Johari menyampaikan sesi motovasi kepada para peserta yang bakal menghadapi peperiksaan awal November ini. 

“Keputusan lalu bukan penentu mutlak masa hadapan. Apa yang lebih penting ialah kesediaan untuk berubah, bekerja keras dan menggunakan masa yang masih ada dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Ahmad Nazib turut menekankan kepentingan pengurusan masa, pemilihan persekitaran pembelajaran yang baik serta hubungan dengan rakan yang mampu memberikan pengaruh positif.

Katanya, kejayaan dalam SPM bukan hanya bergantung pada kecerdasan, malah turut dipengaruhi oleh disiplin, kekuatan emosi, konsistensi mengulang kaji serta keseimbangan antara usaha dan doa.

Program anjuran Pertubuhan Kepimpinan dan Keterbilangan Pelajar Sarawak (PKKPS) bersama Terbilang Academy Sarawak dan Pusat Tuisyen Terbilang itu menerima sokongan rakan kolaborasi serta sumbangan dana daripada Jabatan Perdana Menteri melalui Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

Program berlangsung selama lima hari, dari 31 Ogos hingga 4 September 2026, bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Bagi memastikan bimbingan diberikan secara lebih berfokus, semua peserta dibahagikan kepada empat kelas berbeza, dengan setiap kelas terdiri daripada 19 hingga 20 murid.

SEMANGAT SPM: Dr. Ahmad Nazib Johari (tengah) bersama Dr. Ishak Johari dan peserta salah satu daripada empat kelas selepas sesi motivasi di Pusat Tuisyen Terbilang, Matang Jaya.

Selain sesi motivasi, peserta mengikuti bengkel Matematik secara intensif yang menumpukan ulang kaji berfokus, teknik menjawab berdasarkan skema pemarkahan dan latihan berasaskan bentuk soalan percubaan SPM dari pelbagai negeri.

Antara topik yang dipelajari ialah fungsi dan persamaan kuadratik, asas nombor, ubahan, ketaksamaan linear, matriks, statistik, geometri, trigonometri, graf gerakan garis lurus, kewangan, percukaian, insurans, set, transformasi, kebarangkalian, teori graf dan penaakulan matematik.

SEMANGAT SPM: Dr. Ahmad Nazib Johari (tengah) bersama Dr. Ishak Johari dan peserta salah satu daripada empat kelas selepas sesi motivasi di Pusat Tuisyen Terbilang, Matang Jaya.

Pengerusi PKKPS, Dr. Ishak Johari berkata, kehadiran Ahmad Nazib telah memberikan suntikan semangat kepada peserta, selain memperlihatkan keprihatinan terhadap usaha membantu calon SPM daripada keluarga B40.

Menurutnya, gabungan antara motivasi, latihan intensif dan bimbingan dalam kumpulan kecil amat penting kerana calon SPM memerlukan penguasaan ilmu, keyakinan diri serta ketahanan mental untuk menghadapi tekanan peperiksaan.

Program tersebut berakhir pada Jumaat dengan majlis penutupan dan penyampaian sijil yang disempurnakan oleh Dr. Ishak.

Ahmad Nazib turut mengucapkan tahniah kepada PKKPS, Terbilang Academy Sarawak, Pusat Tuisyen Terbilang dan semua pihak yang menjayakan program tersebut.

Beliau berharap peserta akan meneruskan momentum pembelajaran selepas tamat bengkel serta menggunakan segala ilmu, teknik dan dorongan yang diperoleh untuk mencapai keputusan terbaik dalam SPM 2026.

JAMUAN RINGAN: Dr. Ahmad Nazib memberi kata-kata semangat kepada pelajar yang bakan menduduki peperiksaan penting SPM menjelang November 2026.

Ahmad Nazib turut mengucapkan tahniah kepada PKKPS, Terbilang Academy Sarawak, Pusat Tuisyen Terbilang dan semua pihak yang menjayakan program tersebut.

Beliau berharap peserta akan meneruskan momentum pembelajaran selepas tamat bengkel serta menggunakan segala ilmu, teknik dan dorongan yang diperoleh untuk mencapai keputusan terbaik dalam SPM 2026.

SIJIL PENYERTAAN: Sebahagian dari 80 Pelajar daripada Parlimen Petrajaya dan Santubong yang mengikuti program selama 5 hari peserta berkampung di Pusat Tuisyen Terbilang.

Sumber: Utusan Borneo

oleh Utusan Sarawak  | Kategory Sarawak

By pkkps

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *