KUCHING, 28 Disember 2024 – Pertubuhan Kepimpinan dan Keterbilangan Pelajar Sarawak (PKKPS), sebuah NGO yang komited dalam memperkasa pendidikan pelajar luar bandar dan golongan kurang bernasib baik, dengan kerjasama Pusat Tuisyen Terbilang, telah menganjurkan Bengkel Pecutan Akhir Matematik dan Sains SPM 2024 selama enam hari bermula 21 hingga 28 Disember.

Program ini bertujuan meningkatkan penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran Matematik dan Sains melalui pendekatan intensif yang merangkumi pengulangan latih tubi, pendedahan teknik menjawab soalan dengan tepat, serta strategi membina keyakinan diri menjelang peperiksaan SPM 2024.

Menurut Pengerusi PKKPS, Dr. Ishak Johari, bengkel ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan NGO tersebut dalam menyokong aspirasi pendidikan negara serta memperkukuh minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Minat terhadap subjek STEM amat penting untuk masa depan negara. Kami percaya bahawa dengan pendekatan yang betul dan sokongan yang menyeluruh, semua pelajar – termasuk daripada kelompok B40 dan rumah kebajikan – mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang ini,” ujar beliau.

Bengkel ini melibatkan 138 pelajar dari sekitar Kuching termasuk anak-anak daripada Pertubuhan Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) serta pelajar dari keluarga berpendapatan rendah. Kesemua peserta mengikuti sesi secara bersemuka di dua cawangan Pusat Tuisyen Terbilang, dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari, tanpa sebarang bayaran.

Pengetua Pusat Tuisyen Terbilang, Puan Nurhidayah Abdullah, memaklumkan bahawa program ini memberi kesan ketara kepada prestasi pelajar, terutamanya dalam aspek pemahaman konsep asas, kemahiran menyelesaikan soalan kompleks serta pengurusan masa semasa peperiksaan.

“Lebih daripada sekadar akademik, kami juga menekankan persediaan mental dan emosi. Ini penting untuk memastikan pelajar menghadapi peperiksaan dalam keadaan tenang dan yakin,” katanya. Beliau turut menekankan bahawa bengkel ini telah berjaya memupuk minat mendalam terhadap bidang STEM serta membuka cakrawala kerjaya masa depan dalam teknologi dan kejuruteraan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 pelajar di kawasan Parlimen Petra Jaya, Bahagian Kuching dan Samarahan. Komitmen PKKPS terhadap pendidikan inklusif dilihat jelas melalui penawaran program percuma kepada pelajar daripada latar belakang yang mencabar.

Majlis penutupan bengkel disempurnakan dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Puan Nurhidayah Abdullah. Program ini bukan sahaja meningkatkan prestasi akademik, malah memperkukuh asas pelajar untuk menghadapi masa depan yang lebih cemerlang, seiring dengan usaha memperkasakan pendidikan STEM di negara ini.

 

 

By pkkps

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *