Pertubuhan Kepimpinan dan Keterbilangan Pelajar Sarawak (PKKPS) dan Pusat Tuisyen Terbilang dengan kerjasama Pejabat Kawasan Muara N16 menganjurkan Bengkel Matematik dan Sains SPM 2023 yang berlangsung sepanjang cuti sekolah dari 18 hingga 29 Disember 2023. Program bertujuan memantapkan lagi prestasi pelajar SPM dalam subjek Matematik dan Sains disamping menerapkan kepentingan penguasaan pelajar dalam bidang STEM dipertingkatkan.
Menurut Pengerusi PKKPS, Dr. Ishak Johari yang juga Pengarah Pusat Tuisyen Terbilang, anjuran program berkenaan dengan kerjasama Pejabat Kawasan ADUN Muara Tuang, telah menarik minat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan bertulis SPM awal bulan Februari 2024 untuk menguasai dua mata pelajaran penting berkenaan.
Program yang bermula jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang itu dilaksanakan secara hybrid di dua cawangan Pusat Tuisyen Terbilang secara serentak selama dua minggu dengan 2 siri berbeza iaitu 18 – 22 Disember siri 1 dan 25 – 29 Disember siri 2. Para peserta dibahagikan kepada 20 orang pelajar setiap kumpulan bersama 2 orang Guru Pakar, Matematik dan Sains. Program ini telah menarik seramai 380 orang peserta.
“Ia bertujuan untuk memantapkan penguasaan subjek matematik dan sains yang kini minat pelajar agak kritikal dalam kalangan pelajar kita. Lebih-lebih lagi dalam kalangan anak-anak yatim, keluarga asnaf dan B40 yang tidak mampu untuk mengambil tuisyen secara berterusan”.
Jelasnya, program ini sudah dimulakan sejak tahun 2012, kini telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 pelajar di Parlimen Petra Jaya, Kuching dan Kota Samarahan.
“Program-program seumpama ini perlu diperkasakan lagi dalam memastikan penguasaan pelajar dalam bidang STEM dapat dipertingkatkan,” Ujar Dr. Ishak lagi
Turut Hadir di Majlis Penutupan program itu Puan Nurhidayah Seetha Abdullah, Pengetua Pusat Tuisyen Terbilang dan Puan Sabrina Jassie yang mewakili ADUN Muara Tuang, YB Dato’ Seri Idris Buang bagi menyampaikan Sijil Penyertaan kepada para peserta.